Latar belakang PTAC


                Kumpulan Seni Lukis Pulau Pinang atau lebih dikenali sebagai The Penang Teachers’ Art Circle, merupakan salah satu kumpulan seni yang amat aktif sejak tahun 60an. PTAC telah didaftarkan sebagai sebuah persatuan pada 23 Disember 1966.

                Sebenarnya, PTAC adalah gabungan 2 persatuan seni yang amat aktif sejak tahun 50an, iaitu Penang Art Teacher Council  yang ditubuhkan oleh Dato’ Tay Hooi Keat dan Thursday Art Group.

                Ahli-ahli PTAC pada tahun 60an merupakan guru-guru seni dan guru-guru yang berminat dalam bidang seni. Antaranya terdiri daripada pelukis-pelukis terkemuka, seperti Tan Tin Kok, William KK Lau, Lee Joo For, Ismail Hashim, Tan Lye Hoe, Tay Mo Leong, Khoo Sui Hoe, Mohd Mustapha Siddik, Krishnamoorthy, M. Rajagopal, Wong Siew Yin, Onn Suan See, Chong Chin Seng, Koay Soo Kau dan banyak lagi. Sehingga hari ini, ahli-ahli PTAC telah bertambah dan terus bergiat dalam dunia seni.

                PTAC merupakan sebuah persatuan yang amat aktif sejak tahun 1964. Pameran yang pertama sekali telah diadakan pada tahun 1964 di Balai British Council dan Perpustakaan Pulau Pinang. Pameran tahunan telah diadakan sejak itu. PTAC juga telah memainkan peranan yang penting menggalakkan budaya berseni di Pulau Pinang dengan pameran kumpulan kecil ( Circle Six ) dan perseorangan. Pelbagai aktiviti berseni juga telah diadakan termasuk membuat batik, arca dan cetakan, demonstrasi, lawatan dan sebagainya.

                Sehingga hari ini, PTAC masih tidak kurang aktifnya dengan bimbingan ahli generasi tua serta tenaga generasi baru. Antara aktiviti dalam tahun 90an dan alaf baru ini termasuk pameran-pameran ulangtahun PTAC,  Pameran Transisi yang diadakan di Galeri Petronas di bawah tajaan Galeri Petronas, pertandingan melukis dan pameran kanak-kanak, membantu Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dalam menganjurkan aktiviti seni seperti Pertandingan dan Pameran Seni Lukis Pelajar-Pelajar Malaysia-Jepun, Pertandingan Mewarna dan Melukis Nestle Kokocrunch, penghakiman Pertandingan-pertandingan melukis kanak-kanak dan Pertandingan Mereka Kad-kad Hari Ibu dan Hari Bapa, anjuran kursus dan bengkel Pendidikan Seni Visual untuk para guru PSV bersama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang.